Perlahan pisau itu ditekan ke lehernya. Zabba menelan air liurnya sendiri. Jantungnya seakan-akan mahu pecah. Kisah lama itu terbayang di matanya.
5 tahun sebelum…
“Tolong, Zab. Jangan tembak dia.” Rayu Axkan. Airmata lelakinya mengalir laju.
“Aku takkan tembak dia kalau kau beritahu di mana duit tu.” Zabba mengugut.
Ayim menggelengkan kepalanya. Memberi isyarat kepada Axkan supaya tidak memberitahu ‘rahsia besar’ mereka itu. Zabba menghentak kepala Ayim. Wajah Ayim menyeringai kesakitan. Suaranya sudah tidak kedengaran lagi. Nafas Ayim kedengaran kasar dan tersekat-sekat. Zabba mencekak rambut panjang Ayim. Pistol itu dihalakan tepat ke tengah dahi Ayim.
“Duit itu dalam periuk kat dapur. Bawah sink.” Axkan bersuara. Dia sudah tidak sanggup melihat abangnya diseksa sebegitu.
“Ha… Kan senang kalau kau beritahu awal-awal lagi?” Zabba bersuara angkuh. “Kau, pergi tengok.” Arah Zabba kepada Fayish. Fayish orang kepercayaannya setelah Axkan dan Ayim belot terhadap ‘perjuangan’ mereka.
“Ada, Zab. Ada. Kaya kita. Kita kaya!” Kedengaran suara kegembiraan Fayish berselang ketawa besar daripada arah dapur.
Zabba tersenyum. Dia menyelitkan pistol di seluarnya. Perlahan ditarik pisau dari poket belakangnya. Bersama senyuman dia menusuk pisau itu tepat ke dada Ayim. Axkan menjerit. Dia melihat abangnya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Air matanya mengalir laju.
“Kau janji kau takkan bunuh dia.” Suara Axkan menjerit marah.
“Aku janji takkan tembak dia tapi aku tak janji tak bunuh dia.” Ujar Zabba bersahaja tanpa sebarang rasa. “Sekarang giliran kau.” Zabba menghalakan pistol itu ke arah Axkan.
“Bang!!!”
Zabba membuka matanya. Di hadapannya sekarang wajah Axkan menghadapnya.
“Tolong Axkan. Jangan bunuh aku. Aku dah insaf. Kasihankan bini dan anak-anak aku.” Rayu Zabba mendayu-dayu. Sekarang dia terbayangkan wajah isteri dan anak-anaknya yang berumur 2 dan 3 tahun itu.
“Masa kau bunuh Ayim, kau tak fikir bini dan anak dia kan? Aku pun sama. Sekarang aku nak kau rasa apa yang kau buat pada dia dulu.” Balas Axkan sambil menekan hujung pisau ke leher Zabba. Kedengaran hirisan pisau di kulit leher Zabba. Darah keluar membuak-buak. Zabba akhirnya menghembuskan nafas yang terakhirnya.
Sama ketika dia membunuh Fayish 2 hari lepas, mayat Zabba dibiarkan dalam keadaan terduduk begitu. Pisau yang digunakan untuk mengelar leher Zabba dicampak jauh-jauh. Seperti dia cuba mencampakkan ingatannya 5 tahun dahulu. Axkan melangkah longlai keluar daripada rumah usang itu. Rumah dimana kenangan 5 tahun dahulu bermula. Dia menamatkan kenangan itu pada hari ini. Dan airmata Axkan terus mengalir.
Perjuangan kerana harta adakah berbaloi?
Darah dibaras darah.
Dan pengkhianatan juga akhirnya dibalas dengan penghianatan.
Manusia tak pernah sempurna
dan takkan pernah puas dengan apa yang dimilikinya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment